Tuesday, December 2, 2008

Langkah-langkah Untuk Mengelakkan Makanan-makanan Yang Mengandungi Melamine

1. Peranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)
KKM telah mengenakan larangan mengimport iaitu tindakan Pemeriksaan Tahap 6 (Auto Rejection) melalui Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia ( Food Safety Information System of Malaysia – FoSIM) kepada semua susu tepung formula bayi, susu dan produk susu dari Negara China sebagai langkah berjaga-jaga supaya tiada produk yang berkaitan dengan susu dari China masih diimport pada masa kini.

KKM juga sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna. Jadi, KKM perlu menetapkan tahap melamine sebagai keperluan dalam Peraturan Makanan 1985. KKM memberi jaminan kepada penduduk Malaysia bahawa tahap keselamatan dan kualiti makanan yang masuk ke negara ini adalah pada tahap yang terkawal dengan aktiviti penguatkuasaan yang bersungguh-sungguh dan berterusan di setiap pintu masuk negara. KKM giat melakukan pemeriksaan secara besar-besaran dan menyeluruh bagi mengesan bahan makanan yang mengandungi melamine berlebihan di negara ini. Oleh itu, penduduk Malaysia boleh membeli produk-produk dengan lebih tenang hati dengan adanya jaminan yang diberikan oleh KKM tersebut.


2. Peranan pakar perubatan dan pegawai perubatan
Sebagai langkah proaktif, semua pakar perubatan dan pegawai perubatan dinasihatkan agar sentiasa berjaga-jaga dan memantau gejala masalah buah pinggang seperti bayi menangis tanpa sebab ketika kencing, kencing berdarah dan tekanan darah tinggi pada bayi. Keadaan ini adalah jarang berlaku di kalangan bayi yang sihat. Sekiranya mengesyaki gejala ini di kalangan kanak-kanak, pakar perubatan dan pegawai perubatan berkenaan perlulah melaporkan kepada KKM dengan segera supaya kes itu dapat dirujuk dalam masa yang singkat.

Selain itu, pakar perubatan dan pegawai perubatan harus memeriksa sampel yang dihantar ke makmal yang diiktiraf KKM dengan teliti bagi memastikan bahan berkenaan tidak mengandungi melamine berlebihan seperti yang tertakluk pada Peraturan-Peraturan Makanan 1985.


3. Peranan sebagai pengimport
Pada masa sekarang ini, pengimport dinasihatkan tidak mengimport susu tepung formula bayi, susu dan hasilan susu dari negara China. Pengimport juga dinasihatkan jangan menjual dan mesti melaporkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) yang berhampiran untuk tindakan selanjutnya sekiranya produk makanan tersebut telah berada dalam simpanan.

Pihak pengimport mesti melabelkan atau memasukkan maklumat negara asal pada produk mereka. Ini boleh menjadi tindakan pencegahan kepada pengguna untuk tidak membeli produk tersebut jika mereka bersikap waspada.


4. Peranan sebagai penjual
Penjual dinasihatkan untuk menyemak inventori produk jualan mereka dan segera mengeluarkan produk makanan dari premis jika didapati produk makanan tersebut yang mempunyai susu sebagai salah satu ramuan dan diimport dari Negara China. Langkah ini dapat mengelakkan pengguna dari membeli produk-produk yang disyaki telah dicemari oleh melamin. Penjual juga diminta untuk menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) untuk mendapatkan maklumat selanjutnya mengenai kes yang berlaku di China dan produk-produk yang dilarang jual kepada pengguna. Penjual harus memberhentikan jualan produk-produk yang beracun kepada pengguna dengan serta-merta sekiranya diberitahu berita yang terkini.

Maklumat terkini juga boleh didapati dari Kementerian Kesihatan Malaysia melalui telefon atau kenyataan akhbar atau melayari laman web http://fsq.moh.gov.my. Penjual harus mengambil sikap bertanggungjawab terhadap produk-produk yang dijual di premisnya. Sekiranya produk-produk larangan yang diumumkan masih dijual dan mengakibatkan perkara yang tidak diingini berlaku, penjual boleh disabitkan kesalahan oleh pihak berkuasa. Oleh itu, langkah yang selamat ialah tidak menjual langsung produk makanan dari negara China sehingga keadaan menjadi reda dan dipastikan produk tersebut bebas daripada kandungan melamine.


5. Peranan sebagai pengguna
Pengguna diminta menghubungi Kementerian Kesihatan Malaysia melalui telefon atau kenyataan akhbar yang dipaparkan atau melayari laman web supaya sentiasa mengikut perkembangan terbaharu tentang produk makanan yang disyaki mengandungi melamine. Pengguna boleh membuat langkah pencegahan awal dengan tidak membeli produk makanan dari negara China sehingga keadaan menjadi reda. Selain itu, pengguna juga dinasihatkan membaca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan bagi memastikan tidak membeli produk yang mengandungi ramuan susu dari negara China pada masa yang tegang ini. Ini disebabkan sebahagian besar daripada bahan mentah produk makanan adalah dari luar negara, khususnya negara China.

Sekiranya pengguna masih berasa ragu-ragu mengenai keselamatan produk tersebut dan mendapati kedai berkenaan masih menjual produk-produk larangan yang telah diumumkan mengandungi melamine yang berlebihan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pengguna juga boleh menghubungi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan Malaysia di talian 03-88833655/03-88833503 untuk membuat aduan dan mendapatkan maklumat lanjut. Pengguna harus berhati-hati terhadap produk-produk yang ingin dibelinya dan mengetahui hak sebagai seorang pengguna untuk sebarang pertanyaan.

No comments: