Tuesday, December 2, 2008

Kesan-kesan Melamine

Melamin yang digunakan dalam sebahagian besar produk pengguna sejak empat dekad lalu adalah bahan yang tidak larut dalam air. Akan tetapi, melamine masih boleh disingkirkan melalui urin. Walaupun begitu, buah pinggang manusia tetap mempunyai hadnya tersendiri. Akibatnya, dalam dos yang tinggi, kajian mendapati ia boleh menjejaskan fungsi pundi air kencing dan ginjal tidak lagi mampu menyingkirkannya dari tubuh badan manusia. Oleh itu, kepekatan melamine semakin bertambah dan seterusnya membentuk kristal yang turut dikenali sebagai batu karang. Dari semasa ke semasa, pembentukkan batu karang ini akan bertambah saiz yang akhirnya menyebabkan kegagalan ginjal yang serius.

Satu kajian telah dijalankan oleh pakar toksikologi, Perry Martos dari University of Guelph pada Mac 2007 yang lalu mendapati ada satu lagi bahan kimia yang mendorong kepada pembentukkan batu karang akibat melamine iaitu asid sianurik. Justeru itu, apabila digabungkan dengan bahan kimia berkaitan seperti asid sianurik, gabungan campuran kedua-dua bahan kimia itu boleh menyebabkan pembentukan batu karang yang sekaligus menyebabkan kagagalan ginjal dan memberi kesan toksik kepada buah pinggang. Kehadiran melamine dan asid sianurik secara bersendirian adalah tidak berbahaya kepada manusia.
Kesan ketoksikan akibat pendedahan terhadap melamine secara langsung adalah seperti mengakibatkan iritasi apabila terhidu dan bersentuhan dengan kulit atau mata. Manakala kesan ketoksikan kronik yang diakibatkan oleh pengambilan melamine adalah boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem pembiakan atau menyebabkan batu karang dalam ginjal dan pundi kencing Penggunaan melamine dalam pengeluaran makanan dilarang di China dan negara lain kerana ia dikenalpasti sebagai penyebab kegagalan ginjal dan masalah kencing sama ada kepada manusia mahupun binatang apabila ia bercampur dengan asid sianurik dalam badan yang kadangkala hadir dalam air minuman dan makanan haiwan.

Ekoran daripada kejadian kes di China, gabungan melamine dan asid sianurik telah menyebabkan pencemaran yang memberi kesan serius kepada bayi dan kanak-kanak kecil yang bergantung kepada susu bagi pemakanan mereka. Pengambilan melamine melalui makanan boleh mengakibatkan kerosakan pada sistem pembiakan dan pembentukkan batu karang dalam ginjal dan pundi kencing. Ini boleh mengakibatkan kegagalan ginjal terutamanya kepada bayi.
Mula-mulanya tertumpu pada Kumpulan Sanlu selaku peneraju pasaran susu bayi, siasatan kerajaan mendapati masalah ini juga terjadi dalam produk-produk keluaran 21 syarikat lain, termasuk Mengniu, Yili, dan Yashili. Isu ini bukan sahaja menimbulkan kebimbangan orang ramai mengenai keselamatan makanan dan amalan rasuah di China, malah juga menjejaskan reputasi eksport makanan China. Berikutan daripada itu, sebahagian besar negara-negara Asia mengharamkan dan menarik semula produk-produk tenusu keluaran negara China. Ini menyebabkan China mengalami kerugian yang teruk sejak meletusnya kes tersebut.

Pada 22 September 2008, dilaporkan hampir 53,000 kes kesakitan, lebih 12,800 hantaran ke hospital, dan empat kematian bayi akibat karang ginjal dan kegagalan renal yang lain. Kimia terbabit nampaknya dibubuh ke dalam susu agar kelihatan mengandungi lebih protein. Malah sebelum skandal susu di China dikupas sedalam-dalamnya baru-baru ini, melamin telah menjadi satu isu perdebatan pada awal tahun 2007 dimana kimia ini juga terlibat dalam satu insiden penarikan balik makanan haiwan. Perdebatan itu berlaku apabila para saintis dan doctor haiwan berusaha mengesahkan melamin bertanggungjawab meragut ratusan nyawa binatang peliharaan akibat pencemaran haiwan. Pada tahun 2004 di tanah besar China juga pernah berlakunya insiden berbeza yang mana susu kurang bermutu mengakibatkan 13 bayi mati akibat kekurangan khasiat.

Kesan melamine kepada manusia adalah kurang berbanding dengan haiwan kerana jangka hayat melamine adalah 3 jam dan ianya tidak berkumpul di dalam badan manusia serta boleh dikeluarkan melalui perkumuhan buah pinggang sebagai air kencing.

No comments: