Tuesday, December 2, 2008

Apakah itu Melamine?

Melamine yang dipermasalahkan itu adalah bahan organik yang terdiri daripada karbon, oksigen dan nitrogen yang digunakan dalam bidang pembuatan resin plastik, bahan pembersih, gam, baja dan lain-lain. Bahan kimia ini kali pertama dihasilkan oleh Justus von Liebig pada 1830 yang kemudiannya dihasilkan secara besar-besaran untuk kegunaan industri. Melamine adalah bahan yang tidak dibenarkan di dalam semua makanan. Akan tetapi, melamine biasanya dicampur dalam makanan haiwan seperti kucing dan anjing supaya kandungan proteinnya lebih tinggi.

Mula-mula, skandal produk tenusu di China tidak diketahui apabila melamine dicampurkan dalam susu. Ini disebabkan melamine tidak larut air dan mesti dicampurkan dengan formaldehida atau bahan pelarut organik lain sebelum ia boleh larut dalam susu. Dalam kes di China, kehadiran melamine dan bahan kimia berkaitan didapati sengaja ditambah ke dalam kandungan susu pada kadar yang diharamkan dalam usaha menyembunyikan kenyataan bahawa susu yang dihasilkan sudah dicairkan dengan air.

Sumber Pusat Maklumat Pemakanan Asia (AFIC) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini menyatakan skandal produk tenusu di China berlaku kerana sikap tidak bertanggungjawab pekilang yang ingin mendapat keuntungan. Selain produk tenusu, AFIC melaporkan pada 2007 bahawa melamine juga ditemui dalam gulten gandum dan beras dengan pekatan protein yang dieksport China bagi kegunaan pembuatan makanan haiwan di Amerika Syarikat (AS). Hasilnya, pada tahun itu, AS melaporkan kematian haiwan peliharaan seperti anjing dan kucing akibat kegagalan buah pinggang.

No comments: